hasilkampungn9
Tuesday, May 11, 2010
Untuk tempahan
liyana : 017 374 3670
adzreel : 017 690 3686
Email : liyana_adz@yahoo.com
Harga seturus : RM15
Friday, May 7, 2010
Asal usul gula anau
Kata perpatah -petitih " saperti anau dalam belukar" tepat sekali kata orang tua-tua, lihat gambar tu... pucuk dialah yang paling tinggi. Gulanya memang sedap tetapi perangai seperti anau dalam belukar jangan di-ikut. Itu sikap penting diri sendiri!!
Gula anau dan gula melaka banyak beza. Gula anau adalah gula dari nira pokok anau yang banyak terdapat dikampong2. Inilah gula nira yang membezakan rasa pada kueh2, manisan serta bubur juga pengat orang Negeri Sembilan dengan masakan negeri lain. Bezanya bagai sungai dengan laut malah sedapnya kueh yang ada bahan gula anau memang tak dapat nak dipertikaikan.
Sekarang ini ramai anak-anak tidak tau macam gula anau ini dibuat, malah kadang2 gula anau itu pun tak kenal. Kalau yang telah lama duduk dibandar lagi tak tahu, walaupun asal mereka dari Negeri Sembilan.
Walau pun zaman telah berlalu, namun gula anau masih lagi popular malah permintaan bertambah bila datang bulan puasa. Saya sendiri semasa zaman anak-anak juga remaja ketika emak masih ada, selalulah arwah emak buat kuih2 dan manisan serta bubur yang mana gula anau menjadi bahan yang amat penting. Kuih2 yang jarang sekali kita temui dizaman moden ini seperti, kuih sopang bersantan (kuih badak berendam),lepat pisang, lepat ubi, kuih kelepong- semacam buah melaka tetapi saiznya kecil, kuih koci ori - bersantan, bubur "temandi" atau putri mandi, pengat pisang,keledek, labu,ubi dan banyak lagi kuih2 berinti manis yang bahannya adalah gula anau.
Sekarang kalau adapun gula anau yang diusahakan ialah disekitar daerah Kuala Pilah, Jelebu,Rembau dan mungkin juga di Jempol. Tetapi sekarang ini nak mencari gula anau yang tulen 100% memang sukar sekali, selalu dicampur dengan lain2 gula. Maklumlah masa berubah dan pokok anau pun bukannya banyak lagi, hampir pupus ditelan pembangunan. Kerana sifatnya hidup melata,malah tiada usaha untuk menanam pokok anau. Malah hasil nira tidak lah banyak seperti dahulu, ini disebabkan perubahan cuaca, dulu dikampung tiada pencemaran malah suhu panas tidak seperit sekarang ini.
Di sini ingin juga saya ceritakan bagaimana gula anau dijadikan. Membuat gula anau bukan satu kerja yang boleh dikerjakan oleh semua orang, mesti ada ilmunya, juga pelbagai pantang larang serta syarat-syaratnya.
Selalu di Negeri Sembilan, pembuat gula anau, juga digelar "menganau" atau " ngetuk anau". Selalu dilakukan sebagai kerja sampingan, buat menambah pendapatan.
Bagaimana mereka yang mengusahakan gula anau ini lakukan. Selalunya mereka akan mencari dan memilih pokok anau mana yang telah mengeluarkan sulur tandan muda. Pokok mestilah sihat dan cantik daunnya. Pokok anau mestilah berjarak-jarak sekurangnya mesti lolos seekor kerbau diantara satu pokok dengan yang lain. Kalau tidak, mungkin air nira tidak banyak jadi usaha menjadi sia-sia.
Dibiarkan sulur tandan muda itu mengeluarkan putik buah yang menguning, tetapi jangan sampai putik tua menjadi beluluk, kalau telah jadi beluluk tak boleh lagi di ketuk atau diraih niranya. Jadi kalau sampai putik jadi tua buat belulut sahajalah yang dijadikan manisan yang ada juga menamakan buah kaling. Nak buat beluluk ni lain pula caranya. Nanti kita cerita pulak. Biar kita tumpu buat gula anau dulu.
Setelah dipilih tandan sulur muda, jadi untuk memulakan kerja hendak lah dibuat sigai buluh yang seakan tangga yang di-ikat ke pokok anau itu. Ini bagi memudahkan kerja mengetuk anau.
Ini lah gambar bagaimana mengambil nira dari pokok anau, dan tangga buluh itulah dinamakan "sigai".
Setelah sigai di pasang, maka bermula membela tandan yang akan menitiskan air nira, dengan serapah serta syaratnya maka diketuklah tandan sulur itu seolah membelainya dengan ketukan perlahan-lahan bagi melembutkan tandannya.
Ini perlu dilakukan setiap pagi dan petang untuk berberapa hari. Setelah tandan sulur ini telah sedia, dengan pisau yang tajam maka di potong lah tandan tadi, lalu di balut dahulu dengan kain atau plastik dibahagian yang dipotong, di bengkukkan kebawah dengan ikatan rotan agar nanti mudahlah nira menitik kedalam takungan.
Selang beberapa hari, diketuklah tandan itu, dihiris lagi agar segar torehan nanti nira terus menitis kedalam takungan. Begitulah di lakukan tiap hari pagi dan petang, diketuk-dihiris dan di takung niranya. Air nira yang dituai, daripada beberapa pokok anau yang lain, dimasak didalam kuali besi dengan api yang perlahan, setelah pekat nira itu maka dituangkan kedalam acuan yang dibuat daripada daun kelapa atau buluh yang raut nipis dan dibulatkan sekadar 3" diameter.
Gula anau yang telah cukup keras selepas disejukan di bungkus dengan daun kelapa kering dalam bilangan 5 keping setiap bungkus - di Negeris Sembilan dinamakan satu "turus". Maknanya se-turus ada 5 keping gula anau. Pada tahun 60an "seturus" 1 - Malayan Dollar sahaja.
Inilah satu-satu gula tradisi yang amat sedap dimakan dan kalau dibuat sebagai bahan manisan untuk kuih2, bubur serta pengat tak tergambar enaknya. Aroma yang terhasil dari kuih muih campuran gula anau begitu jauh lebih wangi dan menyelerakan jika dibandingkan dengan gula yang lain seperti gula melaka, gula kabung, gula nipah dan gula tebu merah memang bukan tandingan kepada gula anau dari Negeri Sembilan.
kebaikan gula enau
Gula kabung atau gula enau berasal dari cairan yang diambil dan ditampung secara bertahap dari pohon enau, lalu dipanaskan sehingga kental. Di pasaran, gula kabung ditemui dalam bentuk padat ataupun serbuk.
Disebabkan prosesnya dilakukan tanpa pengawet dan pemutih, gula kabung menjadi lebih sihat. Jika dibandingkan dengan gula pasir, gula kabung lebih mudah larut di dalam air dan memiliki rasa serta aromanya tersendiri.
Kelebihan lainnya, selain glukosa, gula kabung juga mengandungi protein, mineral dan vitamin. Warna coklat pada gula kabung adalah serat yang bermanfaat untuk kesihatan pencernaan. Selain itu, gula kabung juga memiliki sebatian yang berfungsi menghambat penyerapan kolesterol pada saluran pencernaan. Bahkan, kaum wanita sering menggunakan gula kabung untuk meringankan kesakitan perut ketika menstruasi.
Kalori gula kabung memang tinggi, iaitu 368 kalori/100 gram. Namun, kalori ini boleh anda manfaatkan sebagai sumber tenaga. Tidak seperti gula pasir yang terus membuat anda berasa letih dan malas.
Menggunakan gula kabung untuk membuat kuih juga merupakan idea yang bijak. Ini kerana, selain memberi rasa manis, gula kabung juga dapat memberikan warna coklat pada makanan. Atau anda boleh juga mencampurkan gula kabung ke dalam teh dan kopi.